RSS

Friday, January 1, 2010

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

1.0 Pendahuluan


      Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan . Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat seseorang manusia . Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa. Dalam konteks pendidikan, guru biasanya berusaha sedaya upaya mengajar supaya pelajar dapat belajar dan menguasai isi pelajaran bagi mencapai sesuatu objektif yang ditentukan. Pembelajaran akan membawa kepada perubahan pada seseorang . Walaubagaimanapun perubahan yang disebabkan oleh kematangan seperti berjalan dan makan ataupun penyakit dan kelaparan tidaklah dianggap sebagai pembelajaran.

Kamus Dewan mentakrifkan pembelajaran sebagai proses belajar untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan menjalani latihan. Menurut pandangan ahli kognitif, pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalaman yang menghasilkan perubahan tingkahlaku yang agak kekal. Manakala aliran behavioris pula berpendapat bahawa pembelajaran ialah perubahan dalam tingkahlaku ,iaitu cara seseorang bertindak dalam suatu situasi. Dalam psikologi humanis pembelajaran dianggap proses yang dapat membantu seseorang mencapai sempurna kendiri dan nilai individu.

Oleh yang demikian pembelajaran sepanjang hayat adalah suatu usaha yang berterusan untuk memperoleh dan memindahan pengetahuan , nilai murni dan kemahiran. Pengalaman pendidikan prasekolah yang mengembirakan dan bermakna akan dapat mengekalkan minat untuk terus belajar dalam diri seseorang itu sejak kecil hinggalah ke akhir hayat.


2.0 Konsep Pembelajaran sepanjang hayat

      Ahli panel membawa konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai suatu pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.

Pendidikan tidak formal merupakan proses yang berlaku sepanjang hayat dan kaedah pembelajarannya tidak sistematik kerana ia diperolehi menerusi aktiviti harian. Pendidikan bukan formal ialah sebarang aktiviti pendidikan yang tersusun, sistematik yang dijalankan diluar kelas formal untuk pembelajaran khusus bagi kumpulan tertentu. Pendidikan formal pula adalah pengajaran dan pembelajaran secara sistematik dan teratur, berdasarkan falsafah dan sistem pendidikan sesebuah negara. Seseorang pekerja perlu memahami keseluruhan sistem kerja. Oleh itu, proses pembelajaran tidak akan berakhir walaupun seseorang itu meninggalkan alam persekolahan.

Pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja menjadi agenda penting, malahan telah menukar cara berfikir masyarakat khususnya golongan muda yang baru keluar dari pusat pengajian tinggi. Di Jepun misalnya, persepsi mengenai pentingnya pembelajaran sepanjang hayat telah mewujudkan satu fenomena baru yang dikenali sebagai “employability fever”. Golongan mudanya bersikap agresif untuk memiliki kelulusan dalam beberapa bidang pengajian dan latihan bagi menjamin mereka mendapatkan lebih peluang pekerjaan yang mereka minati.

Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, konsep pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan peluang pekerjaan tetapi untuk memperkayakan jiwa dan minda melalui ilmu pengetahuan. Beliau juga berkata, usaha membangunkan modal insan adalah satu daripada pendekatan utama yang perlu ditekankan dalam konsep pembelajaran sepanjang hayat di mana setiap warga diberi peluang untuk melanjut atau menyambung pelajaran. Peluang pelajaran perlu dibuka seluas-luasnya untuk seluruh rakyat Malaysia bagi melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang Mereka yang bekerja pula perlu menambah nilai terhadap pekerjaan mereka melalui tambahan ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan yang sentiasa berubah secara drastik.


3.0 Pembelajaran Sepanjang Hayat Tuntutan Islam

     Islam sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa belajar ilmu itu adalah wajib yang berterusan dari buaian sampai ke liang lahad. Hal ini berkait rapat dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud ‘tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad’ yang membawa maksud pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran bentuk ini sebenarnya sangat tidak asing di sisi agama Islam. Kewujudan proses pembelajaran selagi hayat masih ada berlaku seiring dengan kelahiran agama Islam itu sendiri.

Agama Islam tidak bermula dengan perintah penyembahan atau ketundukan kepada Allah sebagai Pencipta manusia dan sekalian makhluk di atas muka bumi ini. Tetapi sebaliknya dimulakan dengan perintah yang berkaitan dengan pendidikan iaitu suruhan membaca sebagai salah satu wahana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Agama Islam juga merupakan agama yang sangat teliti dan ketelitian itu bermula dari peringkat pengenalan lagi. Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Seterusnya, manusia harus terus mengharungi kehidupan ini dengan pembelajaran secara berterusan, supaya manusia bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan hidupnya tetapi kehidupan secara bermaruah dan bermakna. Ini kerana pembelajaran begini dapat memperbaiki kehidupan seseorang melalui peningkatan kemahiran kerja, pengislahan sahsiah diri dan bertambahnya ilmu pengetahuan.

Itulah sebabnya Baginda Rasulullah SAW menjelaskan dalam Hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan itu merupakan kewajiban ke atas setiap Muslim. Kewajiban mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai suatu proses sepanjang hayat dan bukan setakat pada tempoh atau umur tertentu. Melalui periwayatan al-Tabrani, Abu Na'im dan Ibn Abd al-Barr, Baginda Rasulullah mengatakan bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya tidak berlaku pertambahan ilmu yang sifatnya boleh menambah nilai ketakwaan kepada dirinya.

Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan Sunnah yang menggesa umat Islam untuk mencari ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malah, bagi mereka yang memasuki dunia pencarian ilmu Allah SWT menjanjikan banyak pahala kebajikan dan kedudukan yang baik. Antara kedudukan mulia yang diberikan Allah SWT kepada golongan ilmuwan adalah sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah ayat 18 Surah Ali Imran yang menjelaskan bahawa ‘kesaksian tentang kewujudan Allah ‘Azza wa Jalla adalah (melainkan) Diri-Nya sendiri, para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan’. Imam al-Ghazali mengatakan ayat ini sudah cukup membuktikan betapa mulia dan utama kedudukan yang diberikan Allah SWT kepada orang-orang yang berilmu.


4.0 Prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

      Dalam proses pembelajaran sepanjang hayat laporan Delors et.al mengemukakan empat prinsip iaitu pembelajaran untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan, pembelajaran untuk menjadi apa atau siapa dan pembelajaran untuk tinggal bersama. Empat prinsip ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna. Manakala menurut Tough pula, proses pembelajaran berlaku pada setiap masa kehidupan yang dipengaruhi oleh suasana di mana kita berada sama ada secara terancang mahupun tidak terancang.

Sebenarnya, apa yang berlaku di sekeliling kita adalah suasana serta keadaan yang sangat radikal dari sudut transformasi sosial. Keadaan ini menyebabkan perubahan-perubahan ketara terhadap tabiat kerja dan gaya hidup. Perubahan ini menjadi cabaran kepada semua orang dan hanya melalui pembelajaran yang berterusan, cabaran akan dapat diatasi. Bukan itu sahaja, apabila ia boleh bertahan dengan keadaan yang telah berubah, ilmu yang dimiliki akan menjadikan cabaran itu dapat diolah semula sebagai sesuatu yang memberi manfaat dan kesenangan.

Antara contohnya ialah, apabila terdapat hasil teknologi baru yang diperkenalkan kepada golongan pekebun yang telah berumur dan teknologi tersebut boleh memberi kesenangan kepada pekerjaan mereka. Golongan pekebun ini mempunyai pilihan untuk membiarkan sahaja kehadiran peralatan tersebut dan meneruskan amalan secara tradisi. Akan tetapi sekiranya mereka meraikan dan memanfaatkan teknologi tersebut, sudah pasti produktiviti akan bertambah, masa dapat dijimatkan yang memberi tambahan masa berkualiti untuk keluarga serta bermasyarakat, dan seterusnya kehidupan mereka akan bertambah senang.


5.0 Pembelajaran sepanjang hayat dalam dunia siber.

     Dengan kemunculan ekonomi digital berasaskan teknologi maklumat, multimedia dan Internet, negara memerlukan pekerja berpengetahuan dan proses inovasi yang berterusan. Ekoran daripada itu akan berlakunya penggabungan antara bekerja dan belajar. Di waktu tersebut, kita akan terus belajar walaupun sambil bekerja, dan begitulah sebaliknya. Inilah yang dinamakan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Para pekerja akan perlu belajar minit demi minit untuk melaksanakan kerja dengan lebih berkesan.

Bagi menjadikan masyarakat kita bersedia menerima perubahan zaman, pengetahuan serta kemudahan capaian Internet mestilah digunakan oleh semua golongan masyarakat, tanpa mengira di bandar atau luar bandar. Sebuah masyarakat yang benar-benar tidak mempunyai jurang antara golongan bermaklumat dan tidak bermaklumat akan wujud sekiranya capaian kepada maklumat itu murah serta mudah.

Kalau kita mengimbau ke belakang dalam bentuk sistem ekonomi tradisional, kehidupan kita dibahagikan kepada dua bahagian, pertamanya masa untuk belajar dan yang kedua ialah masa bekerja. Kita pergi ke sekolah dan universiti untuk menimba ilmu serta sedikit kepakaran. Habis belajar, sepanjang hayat kita selepas itu kita tumpukan kepada bidang kerjaya yang kita ceburi. Berlainan pula dalam dunia ekonomi digital. Kita dijangkakan akan merubah serta melaksanakam proses inovasi bagi meningkatkan pengetahuan sepanjang hidup kita. Sukar untuk mengetahui perancangan kerjaya seterusnya. Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui.

Inilah perubahan zaman yang akan dilalui oleh semua manusia. Pengetahuan yang diperoleh di masa sekarang akan menjadi semakin pudar ditelan masa. Sebab itulah aktiviti pembelajaran sepanjang hayat patut disedari sebagai kaedah menyediakan diri di era ekonomi digital. Medium perolehan maklumat di zaman mendatang tidak lain tidak bukan ialah Internet. Arus perubahan yang dicetuskan oleh teknologi maklumat dan Internet pada hari ini memerlukan pengendalian yang cekap dan bersistematik agar setiap lapisan masyarakat mendapat faedah sepenuhnya. Program-program yang dirangka harus dapat menjadi perintis perubahan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan menekankan pengalaman belajar berasaskan elektronik atau dunia siber. Penggunaan Internet membolehkan sesiapa sahaja mempelajari apa sahaja, tanpa mengira masa walau di mana mereka berada.


6.0 Kesimpulan.

      Sebagai kesimpulannya, usaha untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat adalah merupakan sebahagian strategi pembelajaran penting bagi sesebuah organisasi. Ianya tidak akan berlaku dengan sekelip mata. Setiap individu perlu bertanggungjawab bagi pembelajaran diri sendiri dan dilengkapi dengan ilmu yang kental untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dan akan datang.

Oleh yang demikian, marilah bersama-sama untuk berusaha untuk meningkatkan lagi kredibiliti dan akauntabiliti masing-masing dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan keperluan dan tuntutan persekitaran dan dunia yang serba mencabar kini.

12 comments:

arboqskii said...

terima kasih...info yg berguna utk pembelajaran . . .

Selipar Putus said...

:) sgt b'mnfaat..

syim said...

nice.. semoga ia menjadi ikutan rakyat malaysia untuk meneruskan pembelajaran pada masa akan datang. demi manfaat dan produktiviti negara suatu masa nanti

Lokman said...

terima kasih untuk perkongsian ini.

Unknown said...

Alwesome…
sangat memberi kesedaran dalam mencari erti dan menguasai ilmu yang kekal sepanjang hayat. Terima kasih atas perkongsian.

Unknown said...

tq, for your information , :)

shafiqjamil said...

terima kasih sangat berguna dan bermanfaat

Unknown said...

salam ..mohon share untuk kerja kursus saya ye :)

N said...

good as a professor .. hahaha.. just kidding .. good point from your site ^^

N said...

good as a professor .. hahaha.. just kidding .. good point from your site ^^

Unknown said...

terima kasih. amat bermanfaat. teruskan usaha anda

Unknown said...

sayang

Post a Comment